KETAKUTAN
"You guys dah ready ke nak kahwin?"
"Ready!" Kedua sahabat itu lancar menjawab tanpa sebarang keraguan terpancar.
Kagum, sebab aku masih ragu-ragu. Sekejap rasa bersedia, sekejap rasa perlukan masa.
Kali terakhir aku benar-benar yakin adalah sewaktu dua tahun lepas. Ketika umur 27 tahun, kerana aku meletakkan target sebenar untuk kahwin pada usia 27. Aku bahkan serius mencari jodoh pada ketika itu. Dalam doaku, aku meminta agar diberikan peluang untuk jatuh cinta semula, untuk kembali yakin terhadap 'rasa' itu. Almaklumlah, sudah sekian lama aku bina tembok yang tinggi, meskipun aku pernah bagi peluang untuk seseorang taaruf denganku, hanya sahaja hati aku tiba-tiba merasa tidak tenang dengannya meski tiada kesalahan ataupun kesilapan.
Namun, dalam dua tahun belakangan ini, aku kembali ragu. Meskipun pada umurku, kebanyakan rakan di kampung sudah beranak-pinak. Aku yang di bandar, serta rakan-rakanku di sini, masih membujang. Bukanlah aku tidak menginginkan keluarga kecilku sendiri, namun ada banyak hal yang aku tidak yakin.
Jadi, bila rakan aku dengan cepat menjawab bersedia dan memberikan pandangan mereka terhadap perkahwinan, aku kagum, kerana aku yang masih ragu.
Kalau diikutkan, dah ada lelaki yang dengan yakinnya memberitahu keluargaku untuk menjadikan aku sebagai isteri, tetapi disebabkan dia tidak dapat menerima diriku yang masih ingin belajar, maka aku menolaknya. Agak sedih bila ada rakan yang memberitahuku tentang keadaan dirinya setelah ditolak, tapi aku mementingkan pelajaranku. Aku mempunyai cita-cita, memerlukan kebebasan dalam intelektual, dan dia tidak dapat memahami kemahuanku ketika itu.
Dia lelaki yang baik.
Mereka yang lain juga lelaki yang baik.
Tetapi satu per satu aku tolak.
Aku menunggu 'rasa' itu hadir. Aku menunggu 'the one' yang diciptakan buatku. Aku mahukan lelaki terbaik menurutku.
Tahun demi tahun, rasa itu tidak pernah datang. Keyakinan dan rasa ingin membina rumah tangga bersama mereka.
Sehinggalah dua tahun lepas.
Seorang lelaki yang menurutku, sangat sempurna dimataku.
Namun, dialah satu-satunya yang menolakku. Kami bertemu ketika keduanya berada pada titik terendah dalam hidup kami. Dan sejujurnya aku kecewa. Namun aku juga bersyukur, mungkin sebenarnya Tuhan sengaja mempertemukan kami pada saat itu, kerana kami bukanlah ditakdirkan bersama untuk tempoh yang lama.
Dua hari yang kemudian membawa kepada dua bulan, seterusnya dua tahun, dan mungkin kami tidak lagi dipertemukan dalam apa jua keadaan.
Aku kini sedang belajar untuk berdamai dengan segalanya.
Aku pernah merasa 'dipilih' oleh orang yang aku pilih, meski hanya sekadar dua hari ke dua bulan.
Dan seterusnya, segalanya terhenti untuk dua tahun. Tiada sebarang berita darinya. Dan kemudian dia muncul sebanyak dua kali setelah dua tahun, dan kami berborak seperti tiada apa yang pernah berlaku di antara kami.
Dan kemudian dia hilang lagi.
Dan untuk kali kedua, aku perlu melupakan dia lagi.
Mengizinkan untuk rasa itu pergi dari diri, agar aku kembali tenang dengan diri sendiri.
...
.jpg)

Comments
Post a Comment