MANGU

 Saya sedang mendengar lagu Mangu by Fourtwnty, entah dah berapa kali ulang lagu ni. Walaupun lagu ni popular, tapi saya hanya tahu sewaktu carpooling dengan kawan-kawan, pergi beraktiviti dekat Perak. Lagu ni tak terlalu mengganggu hidup saya, tapi entah kenapa hari ini sangat rasa seakan-akan terpanggil untuk mendengar lagu ni secara berulangan. 


Ia adalah tentang kisah cinta yang tidak lagi memihak kepada mereka. Tentang perpisahan yang terpaksa direlakan meski hati cinta. Dan salah satu hal yang seringkali dipopularkan di TikTok adalah bahagian "Cerita kita sulit dicerna, tak lagi sama, cara berdoa. Cerita kita sulit diterka, tak lagi sama arah kiblatnya."


Dan part ini agak menghantui saya, terutama apabila mengetahui hal ini benar-benar terjadi, dan, antara kisah yang saya terbayang adalah kisah pada zaman Rasulullah SAW dahulu, apabila anaknya Zainab terpaksa berpisah dengan suaminya Abu Al-As. 


Antara isi yang saya ingat waktu saya baca kisah ni adalah mereka sebenarnya sangat cinta tetapi prinsip memisahkan mereka, dan selama 6 tahun, mereka masih setia dengan cinta mereka. Dan akhirnya Tuhan menyatukan mereka apabila Abu Al-As akhirnya memeluk Islam.


Dan mungkin banyak antara kita hanya melihat pada cinta, pada setia, tetapi lagu Mangu ni buat saya terfikir betapa sukarnya waktu-waktu selama 6 tahun itu, dan ada kisah yang saya baca, mengatakan bahawa Zainab cuba untuk bebaskan Abu Al-As daripada tawanan perang menggunakan rantai milik ibundanya, Khadijah. 


Tak terbayang betapa perasaan seseorang itu, dengan pengharapan, kesedihan, kerisauan, dan hal-hal lain dek kerana cinta.


Cinta boleh membuatkan kita termangu-mangu, aneh, entah mengapa rindu itu menjelma sedangkan kita cuba untuk buat yang terbaik berdasarkan kefahaman dan keyakinan kita pada agama. 


Dan menerima bahawa, mungkinkah Tuhan akan menyatukan kita kembali atau adakah tiba masanya untuk kita berpaling dan fokus pada apa yang ada dihadapan?


Cinta itu adalah satu rasa yang aneh. Ia bukan sekadar tentang rasa selamat apabila bersama orang yang kita cintai, tetapi memilih apa yang Tuhan takdirkan, meski takdir itu tidak lagi menyatukan kita,..


Mungkin..


Mungkin cinta itu adalah menerima ketentuan Tuhan, meski pada saat hati memilih hal lain..


:)

MQ

Comments

Popular Posts