PEMBERSIHAN

 Spring cleaning atau pembersihan besar-besaran adalah sesuatu yang saya akan laksanakan mungkin dalam setahun sekali atau dua kali. Selalunya, waktu sebelum Ramadan saya akan bersihkan, atau sebelum balik kampung lama. Sebab saya suka kembali ke rumah sewa dalam keadaan bilik saya bersih. Barulah tak rasa serabut dan fikiran pun lapang. 


Tapi untuk pembersihan besar-besaran ni, selalunya akan ambil masa yang agak lama, berhari-hari kerana saya suka menyusun semula keadaan di bilik untuk ia berfungsi dengan lebih baik. 


Jadi, kenapa kita perlukan pembersihan secara besar-besaran? Tak cukup ke kalau bersihkan setiap kali ianya kotor atau bersihkan secara mingguan? Air yang tumpah, kita akan cepat-cepat lap dan bersihkan, betul? Cadar, selimut, mungkin kita akan basuh sebulan sekali atau dua kali, meskipun tidak nampak ianya kotor, kan? Sebab apa? Sebab kita tahu ia perlu dibersihkan. Atau mungkin kita bersihkan atau tukar sebab dah lama tak buat, kan?


Ada orang, selagi mana dia tak rasa ada keperluan untuk tukar/bersihkan, selagi mana boleh digunapakai, selagi tu la dia guna. Sampai rosak, kena beli baru. Kadang kita tak perasan pun ianya dah perlu ganti. Sebab kita tak pedulikannya. Tahu-tahu je, dah teruk dan sukar untuk dibaik pulih lagi.


Begitu juga dengan hati. Hati juga perlukan pembersihan berkala, seperti dengan zikir, istighfar, solat malam, sedekah dan lain-lain. Kadangkala, kita sendiri tak nampak akan kepentingan pembersihan ataupun penyucian jiwa ni. Tahu-tahu je kita dah mula berbuat dosa kecil yang semakin lama semakin tak terkawal. Kita dah tak pedulikan orang lain, mengumpat sana sini, tak peduli untuk jaga kebersihan (kecuali yang benar-benar sakit dan tak berdaya), dan hal-hal yang dahulunya kita tak buat tapi sekarang tak jadi masalah.


Itu adalah salah satu tanda yang hati kita dah mula perlukan pembersihan secara besar-besaran, atau mungkin petanda yang hati dah mula 'kotor'. Sebab kita mula memandang rendah pada pembersihan secara berkala dan rasa dah 'cukup bersih' aka cukup baik.


Dan pembersihan secara besar-besaran ini memerlukan untuk kita membuang sesuatu. Sesuatu yang terasa 'indah' dan seronok bagi nafsu. Sesuatu yang mungkin hanya kita je yang tahu. Of course lah Tuhan tahu tapi 'nikmat' dosa yang kita seorang je bergelumang dalam tu. Atau mungkin secara berpasangan atau berkumpulan. Cuba tengok balik kehidupan dan cari, adakah hal-hal yang sedemikian dalam hidup kita sekarang?


Kalau ada, ayuhlah, kita mulakan pembersihan. Salam Nisfu Sya'ban, semoga kita semua sempat tiba ke Ramadan dan menyusun atur semula kehidupan. 


Yang masih belajar,

MQ

Comments

Popular Posts