REDHA
"Tuhan tahu apa yang kita tidak tahu."
..
Ada satu kisah sedih;
Seorang kanak-kanak sangat menginginkan aiskrim. Dirinya tidak mampu untuk membeli walau sebatang aiskrim. Hari-hari dia berdoa untuk dapat aiskrim, walau dengan apa cara. Kerana dia hanya punya Tuhan untuk dia meminta. Hidupnya sebatang kara, tiada wang, mahupun keluarga.
Suatu hari, dia nampak ada sebatang aiskrim yang terjatuh di lantai.
Dia terus terburu-buru mengambilnya dan mencari paip terdekat untuk membasuh aiskrim tersebut.
Puas dia berpusing, langsung tidak ada sumber air terdekat.
Dia berlari, bertanya orang sekeliling, namun tetap tidak terjumpa paip air.
Akhirnya, aiskrim tersebut mencair sepenuhnya, tanpa sempat dirinya menjamah walau sedikit.
Kecewa, kanak-kanak tersebut menangis dan menyalahkan Tuhan, seumpamanya Tuhan tidak benar-benar menjawab doanya. Walau ada yang menawarkan aiskrim baharu, dia terus menangis dan menangis. Kecewa. Putus asa. Merajuk dengan Sang Pemilik Segalanya, mengatakan Tuhan itu tidak adil kerana menjadikan dirinya sebatang kara.
...
Familiar dengan kisah sebegini?
Meskipun cerita ini adalah cerita dongeng daripada saya, tetapi kejadian yang sedemikian mungkin agak dekat dengan diri kita.
Mungkin kita adalah kanak-kanak itu.
Mungkin aiskrim itu adalah hal-hal yang kita seringkali sebut dalam doa-doa kita.
Mungkin, kita juga pernah ter-tolak 'aiskrim sebenar' yang Tuhan ingin takdirkan buat kita.
Mungkin, mungkin dan mungkin.
Tetapi, ada satu hal yang mungkin kita terlambat sedar, bahawa Dia menjawab doa itu dengan hal-hal yang lebih baik buat kita. Hal-hal yang Dia tahu kita perlu, berbanding apa yang kita mahu.
Mungkin, perkara yang menjadi kemahuan itu adalah keburukan buat kita, dan Dia hanya menyukarkan kita dalam mendapatkannya, untuk memberikan manfaat yang jauh lebih baik.
Mungkin, Dia lebih tahu hal-hal yang kita tidak tahu.
Dan semestinya, Dia Maha Tahu tentang segala sesuatu.
.jpg)

Comments
Post a Comment