TUHAN TIDAK MENDENGARKAN AKU KAH?

 Mesti setiap dari kita pernah meminta sesuatu daripada Sang Pencipta, yang mana hal itu sangat kita ingini.


Baik dari zaman sekolah -- meminta untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik, ataupun ketika sudah dewasa -- memohon agar dikurniakan rezeki yang baik, juga jodoh yang baik.


Tetapi adakala, doa itu seakan-akan tidak terjawab ataupun tidak lagi dijawab. 


Hati kita mula dihuni dengan tanda tanya -- Kenapa, kenapa dan kenapa?


Mungkin ada sesuatu yang berubah -- ataupun perlu diubah.


Cara kita berdoa kah?

Cara kita berusaha kah?

Atau mungkin hanya sekadar cara kita menghadapi kehidupan kita pada ketika itu.


Mungkin Tuhan hanya menginginkan untuk kita berusaha sedikit extra untuk kali ini, kerana Dia tahu kita jauh lebih baik keadaannya berbanding sebelum.


Mungkin Tuhan hanya ingin menguji sekiranya Dia melambatkan permintaanmu, adakah kau masih akan terus berdoa, atau kau berputus asa dan menjadi lebih baik/buruk.


Tentunya, pilihan yang lebih buruk itu bukan satu pilihan yang baik.

.

Aku pernah rasa penat dengan dunia dan memohon sesuatu yang merubah kehidupanku buat seketika, dan Dia tunaikan permintaan itu. Dan kemudian Dia menarik semula hal hebat itu.


Aku termangu buat seketika, namun aku berjaya bangkit semula.


Bangkit yang jauh lebih baik dari sebelum, dan sejujurnya ada waktu aku merindukan hal hebat tersebut, namun semakin aku fikirkan, semakin aku merasa -- mungkin itu hanyalah pinjaman dariNya buatku, hanya untuk seketika.


Mungkin aku belum cukup baik untuk benar-benar memiliki hal tersebut -- meski secara hakikatnya, aku takkan pernah berupaya memiliki sesuatu.


Ini semua adalah pinjaman dariNya.

Bahkan jasad dan ruh ini juga bukan milikku, tetapi Dia lah yang berhak ke atasku.


Maka siapalah aku untuk meragukan pilihanNya?


..


Kita hanyalah hamba Yang Maha Esa.

Apa sahaja yang Dia tentukan, sudah pasti yang terbaik buat kita.


Allah itu kan tidak akan menguji seseorang jauh dari kemampuan hamba tersebut?


.

Yang pasti dan utama, jangan pernah berputus asa dari rahmat dan kasih sayangNya.


Kau diizinkan untuk berputus asa dengan dunia, untuk hal hebat yang kau pernah miliki -- tapi bukan pada rahmat dan keampunanNya.


Ketahuilah, TIADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH SELAIN DIRINYA, DAN NABI MUHAMMAD ITULAH PESURUHNYA.


Kita cuma hamba yang tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.


MQ

13 MAC 2026

Comments

Popular Posts