NAIK-TURUN

 Perasaan itu datang dan pergi. 

Ada satu waktu, ia memuncak. Ada ketika lainnya, ia mencanak. Tetapi ia juga boleh menurun. Seperti mendaki gunung.


Tahun lepas, saya ada berbincang tentang emosi bersama terapis. Beliau adalah psikologis klinikal yang pada saya, sangat professional dan bagus. 


Manusia itu boleh berubah-ubah pendiriannya. Perasaannya. Hati kita sentiasa berbolak-balik. Sebab itu adanya doa; 

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَعَلَى طَاعَتِكَ



Dan kalau pernah dengar berkenaan tahap kedukaan (stages of grief) pun, realitinya adalah graf yang berterabur. Berkecamuk. Ia adalah fasa yang kita susah nak faham sebab, sekejap kita rasa ok, sekejap kita dah boleh maafkan dan terima, tapi kemudian tiba-tiba emosi kembali menghantui, rasa marah, rasa bersalah, rasa sunyi atau tertekan semula. 




Adakah itu bermakna kita tak maafkan 100%? Adakah kita belum reda dengan apa yang berlaku?

Tidak.

Tidak sama sekali.

Kita melepaskan. Burung yang terbang bebas di udara, ada waktunya ia tetap kembali ke bumi, bukan kerana ia tidak lagi tahu untuk terbang. Tapi sebab ia perlu rehat, ia perlu makan dan kemudian kembali terbang.

Begitu juga manusia dan perasaan. 
Sebagaimana iman itu boleh naik-turun, emosi juga begitu.


Ia bukan tentang mencari salah, dan tak semua emosi dan kejadian itu, perlu untuk kita gali dan cari sehingga ke dasar, untuk memahami agar kita boleh menerima.


.

Dari penghujung tahun lepas, saya asyik mencari tujuan hidup.


Saya cuba untuk mencari dan mencari, meskipun saya tahu dalil penciptaan jin dan manusia -- untuk beribadah kepada Tuhan sekalian alam.


Hasil daripada menggunakan akal fikiran yang Dia kurniakan, saya semakin sedar bahawa dunia ini tidak ada apa untuk kita kejarkan. Perbualan panjang selama hampir 2 jam bersama sahabat saya juga semakin membuka fikiran saya, tentang hakikat 'kita tiada apa-apa'.


Emosi yang kita rasakan, itu adalah anugerah Tuhan hasil pilihan kehidupan kita di dunia ini. 


Kehidupan ini adalah sebuah sistem, kita buat A+B, hasilnya sama ada 'Aa' atau 'Ab'. Atau kita juga boleh memilih untuk melihat dari perspektif lain, seperti 'Ba' atau mungkin ada orang boleh nampak ia sebagai 'C'.  


Atau dalam programming, sistem 'if-else', atau dalam matematik, 'sebab-akibat', dalam biologi atau kimia, persamaan seperti yang saya tuliskan tadi. 


Semuanya Tuhan telah tentukan.


Jika kita bercakap mengenai takdir, betapa bijak dan adilnya Tuhan, ada ketentuan yang kita boleh ubah, dan ada takdir yang telah ditetapkan buat kita.


Adakah itu bermakna kita tidak perlu berusaha?


Tidak!


Sebagaimana yang sahabat saya semalam ada sebutkan, kita bukan wali Allah yang tahu sinopsis hidup kita.


Dan mungkin jika kita tahu, kita boleh menjadi bosan untuk teruskan hidup. 

Sebab itu masa sentiasa berlalu. Tidak ada yang berpatah balik.


Ia adalah supaya kita boleh lebih menghargai kehidupan di dunia ini.

Agar kita dapat lebih menghayati naik-turun roda kehidupan kita, emosi kita, hati kita, juga iman kita.


Dan itulah fungsi agama -- agar diri kita tidak terus melakukan kerosakan di dunia.


Yang masih belajar mengenal Tuhan,

MQ


Comments

Popular Posts